Dzikkrul maut...
Bismillah..shollu'alaamuhammad...
. Keadaan Manusia Mengingati Mati.
Pertama: Orang inilah yang sangat merugi, kerana tidak ingat
bismillah ..shollu alaamuhammad..smga mnjdi asbab manfaat bwt diri dan sdlur smuanya..
kematian, tak terbayang-bayang dalam fikirannya, seakan-akan telah tetap dalam otak bahawa mati itu tak ada.
Orang ini tidak akan merasa hakikat mati sebelum menyaksikan sendiri.
Orang ini baru dapat mengingat mati lantaran mengingat anak atau harta.
Dia payah memikirkan bagaimanakah hartaku kelak, siapakah yang akan
menjadi suami isteriku kalau aku wafat. Bagaimanakah jadinya anakku
kalau aku telah menutup mata.
Kalau mayat dipikul orang di
hadapan rumahnya, dibacanya “Inna Lillahi wa Innailaihi Raji’un” krana
sudah teradat demikian. Masusia begini bukan mengingati kematian untuk
dirinya, tetapi memikirkan orang lain. Ada juga dia mengaku ingat akan
mati, cuma dengan mulutnya, tidak sejak dari hatinya. Dibawanya lengah
saja perasaan takut mati yang ada dalam batinnya.
Kedua: Orang
yang sentiasa takut saja mengingat mati, takut akan mati, takut
kalau-kalau mati datang sehingga gementar tubuhnya dan berkunang-kunang
penglihatannya. Dia ingat perkara ini kalau dia telah duduk
termenung-menung seorang diri, sehingga lama-lama fikirannya
morat-marit, pekerjaannya tak menentu lagi, pencemas, penggigil, putus
harap. Bagi orang begini nikmat Tuhan jadi kecelakaan. Sebab tiap-tiap
perniagaannya beruntung atau gajinya naik anaknya bertambah, rumahnya
indah dan lain-lain, semuanya menambh takutnya menghadapi mati.
Dia takut kena angin, kerana angin itu menurut keterangan doktor
membawa baksil penyakit. Takut bergaul dengan orang, kerana barangkali
orang itu ada menyimpan bibit t.b.c. (penyakit berjangkit) kelak dibawa
angin bertambah kembang biak, dan pindah pula ke dadanya sendiri.
Kadang-kadang ada orang takut makan, kalau makanan itu tidak diperiksa
doktor terlebih dahulu, barangkali beracun. Sultan Abdul Hamid menggaji
seorang tukang cicip (kinyam) makanan yang akan baginda makan, haruslah
dimakan oleh tukang cicip itu lebih dahulu. Akhirnya tukang cicip
makanan itu kaya raya lantaran gajinya. Ia tidak mati kena racun,
melainkan kemudian Sultan Abdul Hamid, mati di tanah buangan.
Penyakit demikian kalau dibiarkan, tidak ditangkis dengan kekuatan jiwa
atau kekuatan iman kepada Tuhan, akan membahayakan diri, yang perlu
kepada rawatan Doktor mengeluarkan wang beribu-ribu. Kalau doktor itu
tidak ingat akan sumpah dan kemanusiaan, orang yang seperti ini boleh
dijadikan permainan, penambah kekayaan pula bagi si doktor.
Ketiga: Orang yang ingat kematian dengan akal budi dan hikmat. Tak
ubahnya dengan orang yang naik haji ke Makkah. Selama di dalam
perjalanannya tidak lupa dia bahawa dia akan naik haji. Di dalam
perjalanan selalu dihafalya manasik. Dicukupkannya wang, dilengkapkannya
bekal, jangan sampai hajinya tidak sah.
Yang demikian adalah
lantaran dia yakin bahawa ingat mati menghapuskan angan-angan yang tak
menentu, menghabiskan was-was dan mengenang barang yang akan
menghabiskan umur. Dari inat akan kematian, manusia menjadi sabar
menerima bahagian yang sedikit, tidak tamak akan harta benda, lebih dari
mesti, dan tidak menolak berapapun diberi, tidak tercengang dan gamang
jika harta itu habis. Ingat mati menyegerakan taubat, khianat, haloba
dan tamak. Ingat mati menghindarkan ujub. Ingat mati menghindarkan
takbur. Tiap-tiap sehari melangkah dalam hidup,ingatlah mati sekali,
supaya bekal ke sana bertambah banyak disediakan. Jangan sampai
kejadian, sedang terlengah-lengah menghadapi yang lain, malaikat maut
datang tiba-tiba. Sebab mati itu mungkin datang secara mendadak.
Hendaklah laksana juru tulis pejabat yang berkerja secara rapi. Bersedia memperlihatkan buku, apabila tukang periksa datang.
2. Ikhwal Manusia Seketika Mati.
Keadaan manusia seketika mati, tiga macam:
Pertama: Memikirkan bahawa kematian itu laksana suatu yang membawa
bahagia, melepaskan dari, perhambaan, sebab hidup itulah yang
memperhambanya. Sesungguhnya kehidupan manussia ini, walaupun sampai
beribu tahun, masih sekejap mata saja dari cahaya kilat, setelah itu
hilang kembali dan kemudian gelap. Orang ini tidak merasa berat
meninggalkan dunia, hanyalah sekadar beberapa kekurangan yang belum
terbayarkan olehnya kepada Tuhannya. Dia merasa menyesal lantaran
khidmat kepada Tuhan dirasanya belum puas. Orang ini masih tamak juga
hendak mendekatkan diri kepada Tuhan sedikit lagi, masih haloba kepada
kesucian.
Orang bertanya kepada seorang Waliullah yang hampir mati, mengapa dia kelihatan bersedih hati. Dia menjawab:
“Saya agak sangsi, kerana saya baru akan menempuh suatu perjalanan yang
belum pernah saya lihat, sampai sekarang dada saya berdebar, perkataan
apakah kelak yang akan saya ucapkan di hadapanNya”.
Orang ini
bukan takut mati, tetapi merasa belum cukup ibadatnya, merasa malu akan
bertemu dengan Tuhan lantaran ingat akan kebesaran Tuhan. Dia ingin
beribadat sedikit lagi, tetapi waktunya sudah habis dan ajal sudah
datang.
Seorang Waliullah yang lain berdoa demikian:
“Ilahi! Jika hamba memohon hidup di alam kematian, tandanya hamba benci
hendak bertemu dengan Engkau. Sebab RasulMu sendiri pernah berkata:
“Siapa yang ingin hendak bertemu dengan Allah, maka Allah pun ingin
hendak bertemu dengan dia. Siapa yang enggan bertemu dengan Tuhannya,
Tuhan pun enggan hendak menemuinya”.
Buat orang ini Tuhan menyediakan sambutan yang baik. Buat mereka mati dialih namanya jadi “Liqa”, ertinya “Pertemuan”.
Kedua: Orang-orang yang sempit pandangan, yang perjalanan hidupnya
penuh dengan maksiat, yang telah karam dalam godaan dunia, hingga tak
dapat dibongkar lagi, sehingga kalau dia meninggal, hatinya masih tetap
tersangkut. Orang ini merasa bahawa hidup di dunia itulah yang paling
beruntung, dan tak memikirkan kehidupan akhirat. Memang orang yang
begini lantaran telah kotor dalam kehidupan dunia, tersisih juga
darjatnya dalam kehidupan akhirat. Dia telah lebih dahulu buta di dunia,
sebab itu dia buta pula di akhirat.
Orang yang pertama tadi
adalah seorang hamba yang patuh, yang bilamana dipanggil Tuhannya, dia
bersegera datang dengan muka manis, dia datang dengan sukacita dan
senyum simpul. Dia datang mengadap Tuhan dengan Qalbin Salin: Hti Baik.
Orang yang kedua, ialah hamba yang keras kepala, pulang kepada Tuhan
dengan dada berdebar, sebab kesalahan amat banyak. Barangkali ia mencuba
lari, tetapi tak dapat lagi, sebab temphnya sudah cukup. Sebab itu,
kedatangannyakepada Tuhan terpaksa diikat, sebagai orang yang bersalah,
tak dapat mengangkat muka, kelu lidahnya, tak dapat menjawab segala
pertanyaan.
Alangkah jauh bedanya di antara kedua manusia ini.
Himah Rasulullah saw bertemu di dalam perkara menghantarkan mayat ke kubur, sabda baginda:
“Lekas-lekas hantarkan mayat ke kuburnya. Sebab kalau dia orang soleh,
supaya lekas dia bertemu dengan pahalanya, dan kalau dia orang jahat,
supaya jangan lama dia memberati dunia ini!”.
Ketiga: Orang
yang berada di tengah-tengah di antara kedua darjat tadi. Iaitu yang
tahu tipu daya dunia, tak terikat oleh alam, tetapi dia suka juga kepada
alam itu, sebab tak dapat menahan hatinya. Orang ini, laksana orang
yang kepayahan berjalan tengah malam dan mencari tempat berhenti.
Tiba-tiba tertumbuk kepada sebuah rumah kosong di tepi jalan, yang di
kiri kanannya rimba. Akan masuk ke dalam merasa takut, akan diteruskan
perjalanan takut pula. Lantaran terpaksa oleh keadaan dia masuk juga ke
rumah kosong itu. Kalau orang ini sabar menunggu hari siang, tentu kelak
dia akan menempuh jalannya juga dan rasa takutnya pun hilang. Tetapi
kalau takutnya diperturutkannya, itulah yang akan membinasakannya.
Kita tidak hairan bahawa manusia amat berat akan meninggalkan suatu
barang yang biasa dipakainya. Berapa banyaknya orang yang enggan
meninggalkan rumah lama, pindah ke rumah baru, padahal rumah baru itu
lebih besar. Anak-anak menangis meninggalkan perut ibunya, padahal dia
pindah dari lapangan sempit kepada alam luas, nanti kalau telah biasa
dengan udara alam, dia pun tak menangis lagi, bahkan menangis pula kelak
bila akan meninggalkan alam itu.
Moga-moga kita semuanya
menjadi umat yang berarti, yang ridha pada Allah, dan Allah ridha pada
kita, sehingga hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Aamiin...Baarakallah
Posting Komentar